TAHUN baharu ini, samada masihi atau hijrah meninggalkan catatan sejarah yang terukir dalam diari kehidupan setiap insan. Masa untuk kita bertafakur meraba nilai diri yang dicalit oleh tinta yang penuh noda. Hitam dan putih, dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan, untung dan rugi, kegagalan dan kejayaan, semua itu mematangkan peribadi. Rasanya baru sekejap anak dilahirkan, merangkak dan berlari, kini sama tinggi dengan ayah dan ibu mereka. Melihat cermin, nampak kulit semakin kedut, uban tumbuh di sana sini, hari-hari semakin sibuk melayari dunia yang mencabar keimanan. Ada satu amalan paling sesuai dilakukan malam ini, bukalah album kenangan masa lalu dan letakkan ia di hati. Singkap lembaran demi lembaran yang mengandungi gambar mengenai kehidupan kita. Kemudian cuba fikirkan beberapa persoalan mengenai takdir yang anda lalui sepanjang tahun ini. Betapa lemahnya daya ingatan kita, apatah lagi mahu menjawab beberapa soalan yang menjadi rahsia Tuhan ke atas diri kita. Mungkin ada yang menolak takdir ke atas dirinya, tapi selepas dijalani akhirnya Tuhan membuka matanya melihat bahawa takdir itu baik dan membawa kebahagiaan dalam hidupnya. Allah Maha Mengasihi hamba-Nya yang reda lagi berusaha mempertingkatkan kualiti diri walaupun mereka diuji dengan cabaran dunia.
SEMOGA PADA TAHUN INI KITA SEMUA DIKURNIAKAN KESEJAHTERAAN DAN KESIHATAN YANG BAIK SERTA DIPERMUDAHKAN DALAM SEGALA URUSAN. INSYAALLAH DENGAN NIAT YANG IKHLAS DAN HATI YANG BERSIH MUDAH-MUDAHAN KITA SEMUA MENDAPAT ILHAM DAN PETUNJUK YANG BAIK DARIPADA ALLAH SWT DALAM SETIAP USAHA KITA MENERUSKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KHALIFAH DI BUMI ALLAH YANG FANA INI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan