SUKAN MENJANA ATLET SEIMBANG

MELAHIRKAN ATLET AMAT SUKAR TETAPI MENCIPTA ATLET AMAT MUDAH

Sabtu, 22 Januari 2011

PAKAR SEPAK TAKRAW THAILAND HAMPIR PASTI KE MALAYSIA

          Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kian pasti sepakat untuk mengambil perunding sepak takraw dari Thailand bagi memantapkan skuad elit, pelapis dan wanita negara bagi menghadapi Sukan SEA Indonesia 2011 dan Sukan Asia Incheon 2014.
         Taweet Wongkaen dan Prawet Intar merupakan dua calon penyandangnya yang dikenal pasti, malah sudah berada di Gimnasium 2 MSN untuk memantau Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail Kedua sejak 16.1.2011.
         Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN-PSM di Bukit Jalil pada 31 Januari ini bakal memuktamadkan pengambilan bekas pelibas dan tekong Thailand dalam Sukan Asia 1994 dan 2002 itu sebelum dijangka mendapat sokongan Majlis Tertinggi PSM, bulan depan.
         ''Pada dasarnya PSM dan MSN bersetuju untuk mengambil perunding Thailand itu dan mereka akan memantau program persediaan semua pasukan kebangsaan kita (elit, pelapis dan wanita). "Malah, kami akan cuba letakkan mereka dalam sebuah panel kejurulatihan yang bakal dibentuk dengan keahliannya turut dibuka kepada orang luar PSM," kata Ahmad yang turut mahukan ketiga-tiga skuad itu dihimpunkan hanya setempat di Bukit Jalil selepas ini.
Dalam satu temubual dengan Prawet mendapatinya kurang fasih bertutur bahasa Inggeris tetapi secara ringkasnya dia memberitahu, berpengalaman melatih dan menjadi pemain kelab tentera laut Thailand ketika ini."Saya juga pernah mewakili Thailand dan memenangi pingat emas Sukan Asia Busan 2002, Sukan SEA Brunei 1999 dan Kuala Lumpur 2001. Taweet pula berusia 43 tahun dan menang perak Sukan Asia Hiroshima 1994," kata Prawet, 34.
           Menurut Ahmad, sebelum ini skuad pelapis dan wanita ditempatkan di Kompleks Sukan MSN, Taman Keramat, Kuala Lumpur manakala hanya skuad elit berpusat di MSN, Bukit Jalil sekali gus menyulitkan bantuan kepakaran Institut Sukan Negara (ISN) diberikan.Turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang Piala Presiden PSM semalam ialah Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.
''Ketiadaan ramai pemain skuad elit lama dalam kejohanan ini bakal membuka peluang lebih ramai muka baru dipilih selepas ini,'' kata Zolkples.
           Agak mengejutkan ialah kejohanan ini tidak menyaksikan sebahagian besar tonggak skuad Sukan Asia Guangzhou lalu antaranya Mohd. Futra Abd. Ghani, Ariff Ramli, Norshahruddin Mad Ghani, Farhan Adam, Ahmad Sufi Mohammed Hashim dan Noor Azman Abdul Hamid.
          Sementara itu, Ahmad menjelaskan, PSM turut merangka pertandingan lain kelolaannya seperti Siri Super PSM (lima sirkit), Piala Emas Khir Johari di Sarawak (Mac) dan Kejohanan Dunia Pertama Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) di Kuala Terengganu (Jun).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan